Jumaat, 28 September 2007

PKR Menyerahkan Memorandum Kepada DYMM SPB Yang DiPertuan Agong.

Hari ini, jam 9.30 pagi, delegasi dipimpin oleh Presiden Datin Sri Wan Azizah telah menyerahkan Memorandum kepada Istana Negara bertujuan memohon ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat Video Konspirasi V.K. Lingam.


Kandungan Memorandum:


PENUBUHAN SURUHANJAYA DIRAJA BAGI MEMBERSIHKAN IMEJ SISTEM KEHAKIMAN

Ampun Tuanku,

Didoakan semoga DYMM Tuanku bersama DYMM Tuanku Permaisuri sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah s.w.t.

Merujuk perkara diatas, sayugia dirafa’kan sembah bahawa pada minggu lepas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun mendedahkan sebuah video rakaman perbualan telefon antara peguam VK Lingam dengan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim. Video yang dirakam sekitar tahun 2002 ini mendedahkan wujud konspirasi dari pihak-pihak tertentu untuk melantik hakim-hakim yang dapat menjamin keputusan penghakiman yang selari dengan keinginan politik. Antara lain, nama-nama seperti Tan Sri Vincent Tan dan Tengku Adnan Tengku Mansor disebut telah menaja usaha ini.

Maklumat ini mengesahkan kebimbangan sejak pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas pada tahun 1988 dan kenyataan bekas Ketua Hakim Negara Allahyarham Tun Mohammed Suffian pada tahun 2000 apabila beliau menyatakan bahawa beliau tidak bersedia berdepan dengan hakim sekarang apatah sekiranya beliau tidak bersalah.

Hujah ini diperkuat oleh tulisan Ke Bawah Duli Tuanku Raja Azlan Shah pada 2004 yang melahirkan kebimbangan terhadap terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman. Baginda juga menyesali bahawa mahkamah telah diperalatkan untuk memutuskan dengan sewenang-wenangnya bahawa “peranan oleh DYMM Raja-Raja Melayu” merupakan satu prosedur ringan semata-mata.

Imej institusi kehakiman negara kita yang sudah pun tercalar begitu lama sudah tentulah binasa sama sekali. Kes ini berkaitan dengan begitu banyak isu-isu membabitkan institusi kehakiman selama ini, termasuklah:

a) Insiden pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Wan Suleman dan Datuk George Seah

b) Semua keputusan membabitkan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim

c) Kes Wee Chee Keong

d) Kes Lim Guan Eng

Daulat Tuanku,

Berdasarkan keterangan tersebut, patik memohon agar DYMM Tuanku memperkenan membentuk sebuah Suruhanjaya DiRaja dibawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. Suruhanjaya tersebut seharusnya diberi kuasa meneliti bukan sahaja kesahihan video tersebut, tetapi juga dakwaan yang dibuat di dalam video tersebut mengenai perlantikan hakim dan amalan rasuah di dalam institusi kehakiman. Hanya sebuah Suruhanjaya DiRaja yang melapor terus ke DYMM Tuanku dan mempunyai kuasa memanggil dan melindungi saksi dapat memulihkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap institusi kehakiman negara.

Pihak patik bersedia sekiranya DYMM Tuanku berkenan bertemu dengan pihak patik untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam. Di dalam keadaan di mana maruah institusi kehakiman dan kerajaan kini sudah berada di dalam keadaan yang amat dasyat, DYMM Tuankulah yang dapat memainkan peranan yang adil dan saksama untuk mencari penyelesaian terhadap perkara ini bagi kebaikan seluruh rakyat Malaysia. Kuasa untuk menyelamatkan maruah negara kini berada di tangan DYMM Tuanku.

Patik mohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, dan menjunjung kasih di atas kesudian DYMM Tuanku menerima warkah ini.

Ampun Tuanku,

t.t.
Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Ahli Parlimen Permatang Pauh
Presiden Parti Keadilan Rakyat

Khamis, 27 September 2007

Gambar-Gambar 'The Lawyer's March' Putrajaya 26 hb Sept 2007















Lain-lain gambar dapat dilihat di sini. Sila Klik.

Ahli Umno Baru Sedar, Alhamdulillah & Tanda Akan Jadi Wayang Tamil!

Dua petikan dari Ruang Komentar dalam Blog Anwar Ibrahim:

Insaf

Komen Satu: Org UMNO Sep 27th, 2007 at 11:56 am

Dato’ Seri,

ternyata pendedahan Dato’ tentang skandal kehakiman ini benar2 membuka minda dan pemikiran saya. Selama ini saya telah menumpukan sepenuh usaha dan tenaga saya untuk berjuang dalam parti UMNO dan saya seboleh-bolehnya tidak mahu mempercayai apa yang dihujahkan oleh pembangkang.

Namun setelah melihat klip video ini dan beberapa kajian fakta yang saya lakukan, ternyata apa yang diucapkan dlm klip tersebut benar-benar berlaku. Dan inilah yang menyedarkan saya bahawa rakyat dan negara ini diambang kehancuran. Bagaimana urusan pentadbiran negara boleh diserahkan kepada individu yang langsung tidak ada kena mengena dengan kerajaan??

Dan saya bertambah marah dan gusar apabila ada di kalangan pak menteri yang menyalak mempertahankan individu yang terlibat dalam klip tersebut. Sebagai rakyat saya sudah hilang percaya dan rasa hormat kepada kerajaan BN yang memerintah negara sekarang. Dan sebagai rakyat juga saya mohon agar Tuanku Mizan selaku Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk masuk campur menyelesaikan kemelut ini. Raja-Raja Melayu tidak perlu risau kerana jika Tuanku sekalian campurtangan dalam isu ini, saya percaya seluruh rakyat Malaysia yang celik aqal dan hati akan berdiri teguh di belakang Tuanku.

Kepada seluruh ahli UMNO, renungkanlah peristiwa ini sejenak. Lihatlah klip video ini dari pandangan manusiawi yang waras dan pertimbangkannya dan janganlah melihat klip tersebut dari pandangan politik sempit UMNO-BN, kerana ini melibatkan masa depan anak cucu cicit kita. kerana apa yang dipaparkan oleh klip tersebut telah menodai dan menggadai perjuangan kita selama ini.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, bangunlah menentang golongan pengkhianat bangsa ini. Sempena 50 tahun Merdeka ayuhlah semua untuk kita Merdekakan Malaysia sekali lagi, cuma kali ini Merdekanya biarlah dalam erti kata kemerdekaan yang sebenar.

Saya berdoa agar perjuangan kita semua akan diredhai Allah dan akan menemui kejayaan.

REFORMASI !! REFORMASI !! REFORMASI !



Wayang Tamil

Komen Dua: cokelat Sep 27th, 2007 at 6:40 pm

Memang confirm drama….

Kerana si Haidar ni dengan Fairuz…ada kaitan saudara. Emak isteri Ezam…kakak Haidar. Bapa isteri Ezam…abang si Fairuz.

Oleh itu GERAK sebagai penggerak anti korupsi terulung negara….apalagi.. kena jelajah motosikal seluruh negara sekali lagi.