Rabu, 20 Jun 2007

SUKHOI 30-MKM SUDAH TIBA


Berita Harian hari ini melaporkan:
Dua daripada 18 pesawat tempur pelbagai guna, Sukhoi 30-MKM yang ditempah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) empat tahun lalu selamat tiba di Pangkalan Udara Gong Kedak, Kelantan kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Pada 16 hb Januari 2007 Sdr Anwar Ibrahim telah membuat kenyataan berikut:

Pembelian 18 pesawat Sukhoi Su-30MK oleh Menteri Pertahanan bernilai US$900 juta (RM3.2 bilion) menimbulkan persoalan serius mengenai integriti dan ketelusan urusniaga tersebut.

Kementerian Pertahanan telah membeli pesawat tersebut daripada sebuah syarikat kerajaan Rusia, Federal State Unitary Enterprise ‘Rosobornexport’. Sebahagian daripada perjanjian pembelian ini termasuk program angkasa Malaysia bernilai RM90 juta.

Di bawah perjanjian tersebut, IMT Defence Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai ejen tempatan untuk syarikat kerajaan Rusia tersebut dan akan menerima 12 peratus daripada jumlah harga pembelian, bernilai US$108 juta (RM380 juta). Di dalam surat bertarikh 18 Februari daripada S.V. Chemezov, Timbalan Ketua Pengarah Pertama syarikat kerajaan Rusia tersebut kepada Menteri Pertahanan, syarikat Rusia tersebut telah memberi kebenaran kepada bekas menteri Datuk Seri Mohd Adib Adam sebagai Pengerusi IMT Defence Sdn. Bhd. untuk berurusan dengan Menteri Pertahanan untuk mempercepatkan proses tersebut.

Pada 29 Mac 2005, Mohd Zainuri Mohd Idrus, seorang pengarah untuk IMT Defence Sdn. Bhd. telah memfailkan saman dan petisyen terhadap Mega Heights Sdn. Bhd.; Integrated Manufacturing Technologies Sdn. Bhd.; Datuk Seri Mohd Adib; anaknya Ahmad Azam; kakanya Askiah Adam (semua pengarah IMT Defence Sdn. Bhd.); setiausaha syarikat IMT Defence, Loke Foon Keng; dan IMT Defence Sdn. Bhd. untuk menghalang syarikat tersebut memecatnya dari jawatannya.

Di dalam pendengaran kes tersebut, Mohd Zainuri mendakwa bahawa Datuk Seri Mohd Adib Adam dan Askiah Adam mahu menghalangnya dari mendedahkan realiti perjanjian Sukhoi tersebut. Beliau juga mendakwa bahawa beliau sudah hilang keyakinan terhadap mereka bagi mempertahankan kepentingan IMT Defence Sdn. Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Siti Mariah Ahmad menolak permohonan berasingan daripada Datuk Seri Mohd Adib dan Loke Foon Keng untuk menolak petisyen Mohd Zainuri.

Walaubagaimanapun, pada 2006, Hakim Siti Mariah Ahmad membenarkan Datuk Seri Mohd Adib dan Mega Heights Sdn. Bhd. untuk memulakan prosiding terhadap Mohd Zainuri dan dua peguamnya kerana membocorkan butir-butir pembelian Sukhoi tersebut. Pada Disember 2006, Mahkamah membenarkan permohonan dari Mohd Zainuri untuk membuang Askiah Adam sebagai defendan saman tersebut.

Pada 30 September 2006, Mohd Zainuri membuat laporan polis (AMPANG/017696/06) di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang mendakwa Datuk Seri Mohd Adib telah mencuri komisyen bernilai US$108 juta (RM380 juta) yang sepatutnya disalurkan kepada IMT Defence Sdn. Bhd.

Menurut laporan tersebut, Datuk Seri Mohd Adib telah mendaftarkan sebuah syarikat di Labuan yang mempunyai nama yang hampir dengan IMT Defence Sdn. Bhd., dan ini didakwa oleh Mohd Zainuri untuk menyalurkan komisyen tersebut secara haram kepada syarikat baru tersebut. Laporan polis itu kemudiannya dihantar ke Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk tahu: Apakah yang sebenarnya berlaku di dalam pertikaian Mohd Zainuri dan IMT Defence Sdn. Bhd.? Mengapakah pihak polis atau Badan Pencegah Rasuah tidak memulakan siasatan terhadap dakwaan yang dibuat di dalam laporan polis tersebut? Mengapakah kita melihat satu tren di mana ejen-ejen tertentu dilantik di dalam perjanjian pembelian senjata bernilai berbilion-bilion ringgit oleh Kementerian Pertahanan?

Yang pentingnya, kami ingin tahu: Siapakah sebenarnya yang mendapat faedah daripada perjanjian-perjanjian ini? Adakah ia termasuk, sebagaimana didakwa, ahli keluarga Menteri Pertahanan sendiri?

ANWAR IBRAHIM

Dan selepas itu Airbus Corporate Jet ACJ 319 pula akan tiba.


Ruhanie Ahmad dalam blognya melaporkan kapal terbang ini tidak akan dikendalikan oleh TUDM tetapi oleh sebuah syarikat sdn bhd punya kaitan dengan salah seorang setiausaha politik PM.





0 comments: