Khamis, 9 Ogos 2007

BN...Barang Naik...


Marah, tapi harga barang naik juga

oleh TABIB SIBER
Harian Metro

JIKA di sesetengah negara kenaikan bahan api diikuti dengan demonstrasi kerana membantah keputusan kerajaan berbuat demikian, tetapi sebaliknya di negara ini suasana tenang, kecuali rungutan di sana sini.

Rakyat kita sekadar melahirkan rasa kurang senang dengan keputusan kerajaan menaikkan harga diesel 20 sen dan petrol 10 sen seliter selepas kenaikan bahan api itu dikuatkuasakan Mac lalu dan Oktober tahun lalu masing-masing lima sen.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga sukar menerima hakikat kenaikan itu. Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud, menyifatkan ia membebankan pekerja dan keluarga mereka kerana harga makanan dijangka naik.

“Dalam tempoh lapan bulan, harga petrol dan diesel dua kali naik. Belum pun reda dengan kenaikan sebelum ini, mereka dikejutkan pula dengan kenaikan baru yang dikuatkuasakan Khamis lalu,” katanya.

Bagi Tabib, ia tidak ubah seperti kenaikan harga rokok yang menimbulkan kemarahan perokok. Ada yang mahu berhenti dan tidak kurang mengurangkan merokok. Namun semuanya hanya bersifat sementara, akhirnya mereka senyap dan kembali mengamalkan tabiat merokok seperti biasa.

Begitu juga kenaikan harga

petrol dan diesel, Tabib percaya orang ramai hanya riuh sementara dan kemudian menjalankan kehidupan seperti biasa. Begitulah resam hidup orang kita.

Ketika rakyat merungut dengan kenaikan bahan api itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd Shafie Apdal, mengarahkan pegawai penguat kuasa membuat pemantauan segera di seluruh negara bagi mengelak peniaga menaikkan harga barangan berikutan kenaikan harga petrol dan diesel.

“Ia perlu dilakukan kerana saya mendapati harga barang makanan paling cepat dinaikkan apabila berlaku peningkatan harga bahan api,” katanya.

Peniaga kedai runcit dan restoran mengakui kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana membabitkan peningkatan besar dalam kos pengangkutan.

Setiausaha Persatuan Pasar Mini dan Kedai Runcit Muslim Malaysia, Kamal Mustaffa, berkata harga barang keperluan seperti sayur, ikan dan makanan harian akan meningkat tidak lama lagi dan mereka tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga.

Persoalannya, sejauh mana keberkesanan pegawai penguat kuasa KPDNHEP memantau harga barang makanan di seluruh negara?

Setahu Tabib, KPDNHEP tidak cukup pegawai penguat kuasa untuk menjalankan tugas itu. Jika ini berlaku, ia memberi peluang kepada peniaga untuk menaikkan harga makanan sewenang-wenangnya. Ia bukan perkara baru kerana selama ini apabila berlaku kenaikan harga makanan, pegawai penguat kuasa KPDNHEP tidak cukup tangan untuk menanganinya.

Akhirnya, mahu tidak mahu orang ramai terpaksa akur dengan kenaikan harga makanan, walaupun marah dengan tindakan peniaga. Bak kata orang Pulau Pinang, Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Tidak selesai masalah.

Tabib juga percaya kenaikan harga bahan api itu akan terus menjejaskan mutu perkhidmatan pengangkutan awam yang menjadi rungutan pengguna selama ini.

Nampaknya, harapan pengguna untuk melihat kenaikan tambang yang berkuat kuasa 1 Mei lalu akan meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam masih samar.

Tidak mengejutkan jika ia masih di takuk lama.


0 comments: