Selasa, 30 September 2008

PERUTUSAN KETUA UMUM

Bulan Ramadhan ini, sebagaimana yang diulaskan oleh para ulama, adalah madrasah terbaik buat melatih serta mendidik kita umat Islam agar berani dan yakin mendepani segala cabaran yang mendatang. Ramadhan sentiasa mengajar kita betapa kesabaran menjadi paksi kepada kejayaan hakiki dan memperkukuhkan kekuatan ruh serta jiwa. Ini kerana jiwa dan ruh yang membentuk manusia, seperti yang diungkapkan oleh Abul Fath al-Busti:

Perhatikan jiwamu, dan sempurnakan,
Kamu insan kerana jiwa, bukan kerana jasad.

Ramadhan pastinya mengingatkan kita akan kisah Pembukaan Kota Mekah(Fath Mekah). Kejayaan Rasulullah S.A.W yang didokong para sahabat baginda wajar menjadi teladan. Kejayaan tersebut sudah tentu tidak datang sekelip mata. Dua tahun sebelum kejayaan membuka Kota Mekah, satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiyyah telah dimeterai di antara Rasulullah S.A.W dengan wakil kaum Quraisy.

Tidak sedikit yang merasa ragu dengan perjanjian tersebut. Namun ternyata ada hikmahnya di sebalik kesediaan dan kesabaran Rasulullah S.A.W di dalam menerima perjanjian tersebut. Rupa-rupanya ‘jalan kemenangan sudah jelas nyata.’ Selepas sahaja termeterainya Perjanjian Hudaibiyyah, maka turunlah firman Allah S.W.T yang berbunyi:

Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.

Ayat ini menghilangkan keraguan umat Islam serta memperkuatkan lagi azam mereka bagi memastikan seruan untuk melakukan islah terlaksana.

Rakan-rakan sekalian,

Ketakwaan yang diadun bersama kesabaran dan kebijaksanaan adalah kunci utama untuk mengecap kejayaan. Janganlah keyakinan kita digugat tatkala kejayaan sudah hampir. Saya menyeru pencinta kebenaran agar perkukuhkan tekad perjuangan. Ingatlah anjuran Al Quran yang berbunyi:

Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Perubahan yang ingin kita laksanakan bertapak di atas bongkah-bongkah yang kukuh, jauh sekali dari retorik kosong yang berasaskan kebencian dan persengketaan. Kita harus menyedari negara Malaysia bukannya ekabudaya. Kita harus memastikan negara ini tidak ditelan api asabiyyah dan karam dengan sikap taksub melulu. Ingatlah “siapa yang menyemai angin akan menuai badai.”

Sering saya ulangi pemerkasaan ekonomi tidak akan berjaya selagi mana kemajuan dan pembangunan didorong oleh nafsu serta tamak yang bukan kepalang. Pertumbuhan ekonomi dan kekayaan harus difahami dan dimaknai dengan pengertian yang lebih luas. Kekayaan tidak boleh berlegar di kalangan segelintir sahaja, ianya harus menjadi pendorong untuk membebaskan masyarakat dari penindasan dan kezaliman. Inilah yang kita tegaskan sebagai ekonomi yang manusiawi. Ekonomi yang dibangun di atas prinsip insan sebagai makhluk bermoral dan berakhlak, bukannya semata-mata homo economicus; yang hanya memburu kepentingan diri sendiri.

Rakan-rakan sekalian,

Syawal yang bakal menjelang pastinya disambut meriah oleh semua. Pun begitu hendaklah kita sentiasa wasatiyah dalam pendekatan, yakni bersederhana tanpa meminggirkan mereka yang tidak berkemampuan. Syawal adalah bulan kemenangan, bulan memupuk ukhuwah. Kemenangan mengharungi Ramadhan dirai dengan jalinan ukhuwah yang utuh sesama ummah. Kemenangan ini bukan sekadar melawan hawa nafsu sepanjang Ramadhan, sebaliknya diterjemahkan jua sebagai kemenangan menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.

InshaAllah kemenangan yang diredhai menjadi milik kita pastinya, sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al Quran,”ibarat pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit (Ayat 24, Surah Ibrahim)”

Salam Eidulfitri 1429 Hijrah.
Minal ‘aidil wal faiziin.
Maaf zahir dan batin.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

0 comments: