Tunggu Anwar
Sinar Harian 14 Oktober 2008
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan sasaran baru membentuk Kerajaan Persekutuan sebelum Aidiladha adalah tindakan yang betul.
“Perancangan membentuk Kerajaan Persekutuan oleh Anwar bertepatan dengan konsep yang dilakukan Rasulullah apabila berjuang demi menyelamatkan rakyat daripada terus alpa dengan dunia politik serta pentadbiran yang tidak berasaskan agama,” katanya selepas menghadiri Majlis Lembaran Wanita Kelantan di Dataran Kemerdekaan di sini, semalam.
Ketika ditanya mengenai masalah yang sering dihadapi Anwar dan menyebabkan peralihan kuasa yang dirancang sering kali tertangguh beberapa kali, Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan sesuatu perubahan yang baik apabila ingin dilaksanakan pastinya perlu melalui pelbagai masalah tetapi Anwar perlu tahu Pas sentiasa menyokong tindakannya itu.
“Rasulullah s.a.w sendiri menghadapi masalah apabila perlu menunggu selama 13 tahun untuk mengambil alih kerajaan yang ketika itu dikuasai Yahudi, tetapi baginda tidak pernah berputus asa untuk menyelamatkan umat Islam ketika itu.
“Bukan senang ambil alih pemerintahan sedia ada, tetapi perlu persediaan lengkap dan bersusah payah mencapai matlamat yang diingini. Tiada kerja mudah...jika nak senang campur susah rasuahlah,” katanya.
Tambahnya, sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mahu Pakatan Rakyat (PR) melakukan pertukaran kerajaan, BN harus memperbetulkan keadaan yang berlaku sekarang.
“Saya menasihatkan kepada saudara-saudara daripada UMNO supaya beralih kepada Pas atau masuk Parti Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), itu adalah cara yang paling baik.
“Tidak perlu bertengkar, tidak perlu menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menyekat kami untuk melakukan peralihan kerajaan baru, jalan yang paling baik adalah menyertai PR dan bersama-sama membina sebuah pentadbiran yang berlandaskan syariat Islam,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan