Rabu, 15 Oktober 2008

Komunikasi antara TPM dan peguam jadi tanda tanya

SIASAT!


KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu siasatan dikenakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan dakwaan salah guna kuasa dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Beliau menegaskan, pihak berkuasa sepatutnya menjalankan siasatan terhadap semua tuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan bakal Perdana Menteri itu.

“Dengan kes pembunuhan Altantuya, pembelian kapal selam dan Eurocopter serta pendedahan SMS (khidmat pesanan ringkas) dengan peguam...(kenapa) tidak ada sebarang reaksi, siasatan dan laporan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pendedahan pertukaran SMS antara Najib dengan seorang peguam (Datuk Muhammad Shafee Abdullah) berhubung pendakwaan terhadap penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dalam kes pembunuhan Altantuya.

Menurut Anwar, beliau juga telah membaca salinan kandungan SMS itu dan berharap satu siasatan telus dikenakan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Tegasnya lagi, isu-isu yang melanda Najib itu menyebabkan umum ingin mengetahui kebenaran yang terselindung selama ini.
Tambahnya, contoh salah guna kuasa yang paling ketara adalah berhubung dengan penahanan pemilik laman blog ‘Malaysia Today,’
Raja Petra Kamarudin yang ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana telah mengaitkan Najib dan isteri (Datin Seri Rosmah Mansor) dalam kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Anwar juga menegaskan perkara itu secara tidak langsung telah mencemarkan kredibiliti perundangan di negara ini.
“Bagaimana negara akan mempunyai bakal Perdana Menteri yang tidak mampu menjelaskan sesuatu (tuduhan terhadapnya).
“Saya tidak mencadangkan apa-apa, cuma harap satu siasatan terbuka (terhadap Najib),” tegasnya.

AKHBAR SINAR HARIAN



0 comments: