22 September 2007 |
Presiden KeADILan, YB Dr. Wan Azizah telah memohon kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengemukakan Usul Tergempur. Berikutan adalah permohonan penuh.
Dewan Rakyat Parlimen 50680
YB. Tan Sri, PERKARA: USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18(1) Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) dengan ini saya ingin mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan Saya, YB. Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Permatang Pauh) mohon mencadangkan: "BAHAWA SATU SURUHANJAYA DIRAJA DITUBUHKAN UNTUK MENYIASAT PENYALAHGUNAAN KUASA DALAM PERLANTIKAN HAKIM-HAKIM NEGARA" Tan Sri Yang diPertua, Sejak 20 September 2007, media tempatan dan antarabangsa telah melaporkan dengan meluas, pendedahan bukti berbentuk video oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung isu penyalahgunaan kuasa dan campur tangan dalam perlantikan hakim-hakim Ini telah mencetuskan krisis kehakiman yang baru, sehingga menyebabkan kegelisahan di kalangan rakyat terhadap sistem kehakiman negara. Pendedahan isu perlantikan ini wajib dibahaskan kerana bukan sahaja ianya amat jelas melibatkan kepentingan ramai di mana keseluruhan rakyat Perdana Menteri sendiri, sebagai ketua kerajaan, telah menggesa supaya segala kepincangan dan penyelewengan dilaporkan kepadanya, maka amatlah mustahak usul ini diberi ruang untuk dibahaskan oleh ahli-ahli dewan yang diberi mandat oleh rakyat. Sebagaimana yang kita sepatutnya sedia maklum sebagai anggota dewan yang mulia ini, sistem demokrasi didukung oleh tiga komposisi yang utama iaitu sistem perundangan, eksekutif dan kehakiman. Malah sejak krisis kehakiman pada 1988, kepercayaan rakyat pada kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman di negara ini semakin merosot. Tan Sri Yang DiPertua, Saya ingin mengemukakan perkara tertentu, iaitu penubuhan badan Suruhanjaya DiRaja Khas untuk menyiasat krisis kehakiman September 2007 supaya kebenaran akan muncul bagi menjawap soalan-soalan asas termasuk, bagaimana sistem perlantikan hakim-hakim negara boleh disalahgunakan oleh pihak luar daripada proses dan tanggungjawab tersebut. Tan Sri Yang DiPertua, Usul yang melibatkan kebebasan kehakiman perlu disegerakan kerana persepsi masyarakat terhadap kewibawaan institusi kehakiman akan semakin merosot selagi keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman tidak dipulihkan dan diselesaikan. Selagi kita melengahkan keputusan dan proses ini, rakyat akan terus memegang pandangan negatif terhadap sistem kehakiman negara. Ini akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap keseluruhan sistem demokrasi di negara ini. Demi mempertahankan dan memulihkan kewibawaan badan kehakiman negara kita maka dengan ini saya mohon mencadang.
AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH |
0 comments:
Catat Ulasan