Selasa, 18 September 2007

KENYATAAN TUAN RUMAH TEMPAT CERAMAH DI BATU BURUK

Dari paparan Kenyataan Tuan Rumah Tempat Ceramah di Batu Buruk berikut dapatlah kita nilai tujuan sebenar ceramah yang berakhir dengan tragedi itu ditarik balik Permitnya pada saat akhir.

Disalin dari RASUAH SUDAH PARAH

KENYATAAN PEMILIK RUMAH CERAMAH BERSIH BATU BURUK

17 09 2007

Muda Mohd Noor (Mkini)
Sep 17, 07 –Pemilik rumah tempat Gabungan Tuntutan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dijadualkan mengadakan ceramah di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 8 September lalu berkata rumahnya telah menjadi tempat ceramah pemimpin pembangkang sejak 10 tahun lalu tanpa mencetuskan sebarang gangguan dan kekacauan.

Perkara ini dinyatakan oleh Ahmad Salleh, 77, yang dikenali dengan panggilan Mat Singapura di kalangan rakan-rakannya.

“Pihak polis tidak pernah menghalang ceramah-ceramah yang diadakan di kawasan rumah saya kerana tidak pernah berlaku sebarang kejadian buruk. Penduduk sekitarnya juga tidak pernah merungut.

“Semua pemimpin pembangkang - Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Fadzil Noor - telah berceramah di sini.

“Ceramah paling ramai diadakan oleh Gerakan Keadilan Rakyat (Gerak) yang dihadiri oleh kira-kira 100,000 orang pada 1999,” katanya ketika ditemui malaysiakini di rumahnya di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Ahmad berkata, setiapkali ceramah diadakan, para pekerja sukarela PAS membantu mengawal lalulintas dan mereka juga membersihkan sampah sebaik program selesai.

Jaga lalulintas

Selalunya, kata beliau, mereka yang datang, akan balik sebaik program ceramah berakhir dan kerana itu tidak pernah berlaku sebarang kekecohan atau kesesakan lalulintas.

Sehubungan itu, Ahmad mendakwa, alasan polis bahawa program ceramah pada 8 September lalu, boleh mengganggu orang ramai, juga tidak benar.

“Sebelum ini bunyi bising akibat Pesta Terengganu yang diadakan tidak jauh dari rumah-rumah kediaman di sini, tidak pula menimbul rungutan di kalangan penghuninya,” kata beliau.

Sebaliknya, Ahmad mendakwa, pihak polis sengaja mencari alasan untuk membatalkan ceramah tersebut sedangkan kawasan rumahnya luas.

Menurutnya, kira-kira jam 2 atau 3 petang hari kejadian, anggota polis datang melarangnya daripada meneruskan program ceramah tersebut.

Pada jam 4 atau 5 petang hari yang sama, pekerja Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) datang merobohkan pentas ceramah yang dibina di depan rumahnya.

Kawasan pantai

Katanya, kira-kira jam 10.30 malam pula, dua penceramah iaitu Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut datang memberitahunya bahawa ceramah tersebut telah dibatalkan.

Ahmad juga berkata, beliau turut diberitahu terdapat kira-kira 200 anggota polis sedang berkawal di luar rumah, termasuk di kawasan pantai.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di luar kerana saya berada di dalam rumah sehingga penceramah balik kira-kira jam 12 tengah malam,” katanya.

Polis Terengganu tidak mengeluarkan permit kepada penganjur dengan alasan tempat tidak sesuai dan ini menyebabkan berlaku rusuhan di kalangan orang ramai.

Dalam kejadian tersebut, tujuh orang tercedera, termasuk empat anggota polis dan dua ahli PAS yang terkena tembakan seorang anggota polis.

0 comments: