Jumaat, 28 September 2007

PKR Menyerahkan Memorandum Kepada DYMM SPB Yang DiPertuan Agong.

Hari ini, jam 9.30 pagi, delegasi dipimpin oleh Presiden Datin Sri Wan Azizah telah menyerahkan Memorandum kepada Istana Negara bertujuan memohon ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat Video Konspirasi V.K. Lingam.


Kandungan Memorandum:


PENUBUHAN SURUHANJAYA DIRAJA BAGI MEMBERSIHKAN IMEJ SISTEM KEHAKIMAN

Ampun Tuanku,

Didoakan semoga DYMM Tuanku bersama DYMM Tuanku Permaisuri sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah s.w.t.

Merujuk perkara diatas, sayugia dirafa’kan sembah bahawa pada minggu lepas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun mendedahkan sebuah video rakaman perbualan telefon antara peguam VK Lingam dengan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim. Video yang dirakam sekitar tahun 2002 ini mendedahkan wujud konspirasi dari pihak-pihak tertentu untuk melantik hakim-hakim yang dapat menjamin keputusan penghakiman yang selari dengan keinginan politik. Antara lain, nama-nama seperti Tan Sri Vincent Tan dan Tengku Adnan Tengku Mansor disebut telah menaja usaha ini.

Maklumat ini mengesahkan kebimbangan sejak pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas pada tahun 1988 dan kenyataan bekas Ketua Hakim Negara Allahyarham Tun Mohammed Suffian pada tahun 2000 apabila beliau menyatakan bahawa beliau tidak bersedia berdepan dengan hakim sekarang apatah sekiranya beliau tidak bersalah.

Hujah ini diperkuat oleh tulisan Ke Bawah Duli Tuanku Raja Azlan Shah pada 2004 yang melahirkan kebimbangan terhadap terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman. Baginda juga menyesali bahawa mahkamah telah diperalatkan untuk memutuskan dengan sewenang-wenangnya bahawa “peranan oleh DYMM Raja-Raja Melayu” merupakan satu prosedur ringan semata-mata.

Imej institusi kehakiman negara kita yang sudah pun tercalar begitu lama sudah tentulah binasa sama sekali. Kes ini berkaitan dengan begitu banyak isu-isu membabitkan institusi kehakiman selama ini, termasuklah:

a) Insiden pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Wan Suleman dan Datuk George Seah

b) Semua keputusan membabitkan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim

c) Kes Wee Chee Keong

d) Kes Lim Guan Eng

Daulat Tuanku,

Berdasarkan keterangan tersebut, patik memohon agar DYMM Tuanku memperkenan membentuk sebuah Suruhanjaya DiRaja dibawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. Suruhanjaya tersebut seharusnya diberi kuasa meneliti bukan sahaja kesahihan video tersebut, tetapi juga dakwaan yang dibuat di dalam video tersebut mengenai perlantikan hakim dan amalan rasuah di dalam institusi kehakiman. Hanya sebuah Suruhanjaya DiRaja yang melapor terus ke DYMM Tuanku dan mempunyai kuasa memanggil dan melindungi saksi dapat memulihkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap institusi kehakiman negara.

Pihak patik bersedia sekiranya DYMM Tuanku berkenan bertemu dengan pihak patik untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam. Di dalam keadaan di mana maruah institusi kehakiman dan kerajaan kini sudah berada di dalam keadaan yang amat dasyat, DYMM Tuankulah yang dapat memainkan peranan yang adil dan saksama untuk mencari penyelesaian terhadap perkara ini bagi kebaikan seluruh rakyat Malaysia. Kuasa untuk menyelamatkan maruah negara kini berada di tangan DYMM Tuanku.

Patik mohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, dan menjunjung kasih di atas kesudian DYMM Tuanku menerima warkah ini.

Ampun Tuanku,

t.t.
Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Ahli Parlimen Permatang Pauh
Presiden Parti Keadilan Rakyat

0 comments: